R: BM 2 Analisis Kesalahan Bahasa

Tinggalkan komen

Oktober 6, 2011 oleh ustazkenali

R: BM 2 Bahagian D

Analisis Kesalahan Bahasa

Salah satu soalan yang terdapat dalam soalan Bahasa Melayu Kertas 2 STPM ialah soalan Analisis Kesalahan Bahasa;  Bahagian D. Dalam soalan ini, satu bahan rangsangan petikan akan dikemukakan dan di dalam petikan tersebut mengandungi beberapa kesalahan bahasa. Tujuan soalan ini dikemukakan adalah untuk menguji tahap penguasaan calon terhadap sistem bahasa Melayu terutama dari aspek morfologi dan sintaksis.

Calon dikehendaki menganalisis petikan tersebut dan mengenal pasti tiga perkara yang berikut;
o mengenal pasti kesalahan bahasa – 1m
o menjelaskan sebab kesalahan – 1m
o membuat pembetulan kesalahan – 1m

Peruntukan markah untuk bahagian ini ialah 15 markah dan calon hendaklah mengenal pasti sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam petikan. Keupayaan calon untuk mendapatkan markah yang cemerlang bergantung pada penguasaan topik sistem bahasa Melayu (tatabahasa) dalam Kertas Satu iaitu tajuk Morfologi dan Sintaksis.

Konsep kesalahan bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan bahasa sama ada ejaan, perkataan, susunan frasa atau ayat. Jenis-jenis kesalahan bahasa boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu;

1. Kesalahan ejaan:
– ejaan kata asli bahasa Melayu
– ejaan kata pinjaman sama ada daripada bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa serumpun
– ejaan kata majmuk (termasuk pengejaan kata majmuk yang telah mantap penggunaannya – 15 perkataan)

2. Kesalahan morfologi
– Kata sendi nama
– Kata bilangan
– Kata pemeri
– Frasa kerja (frasa kerja transitif atau frasa kerja tak transitif)
– Hukum D-M
– Frasa yang lewah

3. Kesalahan sintaksis:
– Ayat tergantung (ayat tiada subjek/ predikat)
– Ayat pasif (ganti nama diri pertama/ kedua atau ganti nama diri ke-3)
– Struktur ayat tidak tepat
– Ayat yang kabur/ menyimpang makna

4. Kesalahan tanda baca:
– tanda sempang (-)
– noktah bertindih

–  tanda tanya dan tanda seru ( ?, ! )

UNSUR-UNSUR LEWAH DALAM BAHASA MELAYU

Yang berikut adalah antara frasa bahasa Melayu yang sering kali diungkapkan secara salah oleh pengguna bahasa Melayu domestik waima disedari atau tidak. Antaranya termasuklah:

1. Selain daripada itu, … selain itu

2. Kebanyakan pendengar-pendengar Radio Era … kebanyakan pendengar Radio Era
3. Antara prasarana kemudahan yang disediakan termasuklah … Antara prasarana yang disediakan termasuklah
4. Demi untuk negara tercinta, … Demi negara tercinta
5. Semua pengguna perlu membaca terma dan syarat … Pengguna perlu membaca terma dan syarat
6. Semua guru-guru diminta … Semua guru diminta
7. Ada murid-murid yang … Ada murid yang
8. Antara masalah-masalah yang … Antara masalah yang
9. Marcapada ini, isu kekurangan …
10. Salah satu daripada faktor kemerosotan …
11. Pada masa kini, …
12. Penumpang bas ekspres saling tolak-menolak …
13. Ahli saintis tempatan …
14. Sejak kebelakangan ini, …

15. Para-para ibu bapa hendaklah …

Jika sekiranya… Sejak dari …

Oleh Muhammed Salehudin Aman

KATA jika (jikalau), kalau, dan sejak (semenjak) adalah daripada kelompok kata tugas bahasa Melayu. Kata jika (jikalau) ialah kata hubung pancangan keterangan, manakala kata sejak (semenjak) pula merupalan kata sendi nama.

Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga kata hubung pancangan, iaitu kata hubung pancangan relatif (kata hubungnya yang), kata hubung pancangan komplemen (kata hubungnya bahawa) dan kata hubung pancangan keterangan (antara kata hubungnya kerana, sekiranya, hingga, semoga, supaya, dan apabila). Kata hubung pancangan keterangan diringkaskan namanya menjadi kata hubung keterangan sahaja.

Kata hubung keterangan berfungsi sebagai menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Misalnya:

1. Saya akan pergi (klausa utama)/jika tuan membenarkannya.(klausa keterangan)

2. Jikalau tuan pergi,(klausa keterangan)/saya pun ingin pergi. (klausa utama)

Kata sejak dan semenjak juga daripada golongan kata tugas. Kata-kata ini membawa konsep penanda waktu atau masa, dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Contoh ayat:

3. Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak hari lamarannya dahulu ditolak.

4. Sejak bulan lalu lagi, dia berkeadaan begitu.

Penggunaan kata hubung jika (jikalau) dan kata sendi sejak (semenjak) dalam ayat 1 hingga 4 tersebut merupakan bentuk-bentuk yang baku, yakni bentuk bahasa yang mematuhi peraturan tatabahasa yang utuh.

Namun, sering kali kita temukan beberapa kelainan, baik dari segi pengucapan mahupun dari segi penulisan keempat-empat ayat tersebut. Kelainan yang dimaksudkan ialah kelaziman penokokan unsur dalam binaan ayat sehingga menjadikan ayat yang terhasil itu tidak lagi baku. Sementelahan pula, unsur yang ditambahkan dalam binaan ayat tersebut begitu samar kesalahannya oleh tingginya kekerapan penggunaannya dalam berbahasa.

Kelainan binaan ayat-ayat 1 hingga 4 begitu kecil, dan kelihatan tiada cacatnya jika tidak diteliti dan dihalusi. Perhatikan ayat terbitan 1a hingga 4a yang berikut ini:

1. (a) Saya akan pergi jika sekiranya tuan membenarkannya.

(ayat asal: Saya akan pergi jika tuan membenarkannya.)

2. (a) Jikalau sekiranya tuan pergi, saya pun ingin pergi.

(ayat asal: Jikalau tuan pergi, saya pun ingin pergi.)

3. (a) Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak dari hari lamarannya dahulu ditolak.

(ayat asal: Ia tidak pernah datang-datang lagi semenjak hari lamarannya dahulu ditolak.)

4. (a) Sejak dari bulan lalu lagi, dia berkeadaan begitu.

(ayat asal: Sejak bulan lalu lagi, dia berkeadaan begitu.)

Kata sekiranya bermaksud kalau, kalau-kalau, seandainya; yakni bersinonim dengan maksud kata jika, jikalau, dan kalau. Penggunaan bentuk frasa jika sekiranya, jikalau sekiranya, atau kalau sekiranya dianggap lewah. Lewah bermaksud berlebih-lebihan sehingga tertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu. Kelewahan ini bukan sahaja membazirkan perkataan, malah menjadikan ayat-ayat yang terbentuk tidak gramatis.

Demikian juga kelewahan pada frasa semenjak dari dan sejak dari, dalam ayat 3(a) dan ayat 4(a). Dalam kedua-dua ayat yang berkenaan, kata sendi dari tidak perlu hadir di hadapan kata sendi semenjak, dan sejak. Semua kata tersebut mempunyai fungsi yang sama, iaitu sebagai penanda waktu (masa). Kehadiran kata sendi dari dalam ayat-ayat 3(a) dan 4(a) menerbitkan ayat yang tidak baku dari aspek tatabahasa pegangan.

Demikian huraian tentang penggunaan yang lewah berhubung dengan kata hubung dan kata sendi. Sebagai pengguna bahasa, kita seharusnya dapat mengenal pasti bentuk-bentuk bahasa yang baku, dan bentuk-bentuk bahasa yang lewah sifatnya, supaya apabila berbahasa, kita dapat memilih bentuk yang baku dalam wacana berbahasa rasmi.

KLAUSA

Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen kepada ayat. Klausa merupakan ayat yang membentuk ayat majmuk. Klausa terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas

 Klausa bebas

Klausa bebas ialah klausa yang boleh berdiri dengan sendiri dan apabila diucapkan dengan intonasi yang sempurna, klausa bebas ini akan menjadi ayat yang lengkap.Contoh:

  1. Ahmad menari. (klausa bebas)

 Klausa tak bebas

Klausa tak bebas ialah klausa yang tidak dapat berdiri sendiri dan dalam ayat majmuk, klausa tak bebas ini dipancangkan ke dalam klausa bebas atau klausa utama. Contohnya:

  1. Dia lulus dalam ujian kerana belajar bersungguh-sungguh.
  2. Dia lulus dalam ujian (klausa utama/klausa bebas)
  3. kerana belajar bersungguh-sungguh (klausa tak bebas)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Oktober 2011
M T W T F S S
« Sep   Nov »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Blog Stats

  • 658,770 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 56 other followers

Kategori

Top Rated

%d bloggers like this: