Sudah senang hendak senang lagi

Tinggalkan komen

November 22, 2011 oleh ustazkenali

Penghijrahan doktor merugikan negara

ISU penghijrahan graduan lulusan perubatan ke luar negara kembali menarik perhatian ramai. Kali ini dilaporkan lulusan perubatan dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ‘lari’ kerana lebih cenderung untuk berkhidmat di negara jiran kita, Singapura.

Antara punca utama perkara itu terjadi adalah jumlah gaji dam imbuhan yang ditawarkan di Singapura secara relatifnya tinggi daripada apa yang diperoleh di negara kita.

Fenomena penghijrahan golongan profesional sebegini ke luar negara bukanlah suatu isu baru di negara kita. Selama ini, ramai rakyat kita yang berhijrah ke seantero dunia untuk bekerja dalam pelbagai bidang profesional atas pelbagai alasan terutamanya kerana bayaran ganjaran dan insentif yang lebih menarik dan lumayan.

Bagi membendung gejala ini, pihak kerajaan sentiasa tampil memperkenalkan berbagai usaha, program, insentif dan kemudahan baru demi memujuk dan menarik kembali rakyat kita agar kekal berkhidmat di negara sendiri.

Bagi kes kumpulan Pegawai Perubatan itu sendiri misalnya, baru-baru ini, kerajaan telah pun mengumumkan penambahbaikan ke atas skim perkhidmatan Pegawai Perubatan yang membolehkan mereka menikmati peluang kenaikan pangkat dengan lebih cepat dan pantas mengikut tempoh perkhidmatan dan bukan lagi terpaksa menunggu kekosongan jawatan.

Kerajaan juga telah melonggarkan syarat perkhidmatan wajib dengan hospital kerajaan kepada doktor yang berkhidmat di luar negara yang berhasrat kembali ke tanah air.

Tambahan pula kerajaan telah menaikkan beberapa elaun yang diterima oleh pegawai perubatan hospital kerajaan seperti bayaran kerja selepas waktu pejabat iaitu RM80.00 satu jam. Apakah penambahbaikan seperti ini masih belum mencukupi?

Kesemua usaha itu menunjukkan kerajaan begitu komited dan mengambil berat kebajikan golongan ini serta memandang serius pengaliran keluar modal insan bertaraf profesional yang jelas merugikan negara kita yang sedang menuju status negara maju menjelang tahun 2020.

Justeru pendedahan terkini oleh UM dan UKM ini walaupun tidaklah mengejutkan tetapi ia sudah cukup untuk merisaukan dan menyedihkan kita. Doktor muda yang kita harap mampu memikul tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat dan berbakti kepada ibu pertiwi dilihat lebih mementingkan aspek materialistik dengan mengejar wang ringgit dan kemewahan yang disajikan oleh pihak luar.

Mereka perlu sedar bahawa wang ringgit bukanlah segala-galanya dalam hidup kita dan perlu juga memahami keadaan dan status negara kita yang belum membolehkan kita membayar gaji sama seperti di Singapura, mahupun negara maju lain.

Tindakan, tingkah laku dan sikap mementingkan diri segelintir doktor itu menyebabkan ramai yang mula mempersoalkan semangat nasionalisme dan cintakan negara mereka terhadap Malaysia.

Walau apa pun, kita perlu bertindak segera bagi membendung gejala ini agak tidak terus menular dan berjangkit kepada lulusan perubatan yang akan datang.

Justeru, adalah disyorkan beberapa cadangan dan langkah yang boleh diambil bagi menyekat penghijrahan seperti ini. Pertama, pihak kerajaan perlu bertindak tegas dengan memperkenalkan undang-undang yang tidak membenarkan golongan itu berhijrah dan berkhidmat di luar negara sehingga selesai tamat suatu tempoh masa perkhidmatan dalam negara.

Kedua, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga dicadangkan menggubal satu akta khas yang boleh menghalang perpindahan mereka sewenang-wenangnya.

Ketiga, pihak IPTA dan IPTS tempatan yang menawarkan program perubatan wajar memperkenalkan satu subjek tambahan khas yang memberi fokus kepada budaya sayangkan negara sendiri dan kepentingan untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat sendiri. Ini penting kerana golongan muda ini perlu disematkan tentang tanggungjawab sosial dalam sanubari masing-masing sejak di peringkat universiti lagi.

Dan yang keempat adalah mewajibkan semua graduan atau pelajar tahun akhir perubatan menghadiri kursus khas Biro Tatanegara (BTN) sebagai tambahan kepada yang sedia ada yang lebih khusus dan boleh menerapkan semangat cinta serta sayangkan agama, bangsa dan negara.

Namun kita juga perlu sedar, walau apa pun usaha yang kita mampu lakukan, akhirnya keputusan muktamad tetap di tangan para doktor itu sendiri sama ada mahu kekal di sini ataupun membawa haluan masing-masing ke luar negara.

Kesedaran perlu berputik dengan sendirinya tanpa sebarang paksaan, barulah kita dapat melihat dan merasai keikhlasan semasa berkhidmat kepada masyarakat.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

November 2011
M T W T F S S
« Oct   Jan »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

Blog Stats

  • 658,770 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 56 other followers

Kategori

Top Rated

%d bloggers like this: