Nak Cantik Tapi Jadi Cacat

Tinggalkan komen

Februari 22, 2012 oleh ustazkenali

Rawatan kecantikan boleh memudaratkan
Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my
2012/02/22

Banyak kes pembedahan silap dilakukan pakar terapi tidak berkelayakan

BARU-BARU ini Puan C pergi ke sebuah pusat rawatan kecantikan kulit di Johor untuk membuat rawatan muka. Bagaimanapun, dia terpedaya dengan pujukan pusat kecantikan itu supaya membelanjakan wang beribu-ribu ringgit bagi menjalani rawatan laser yang tersilap, menyebabkan kulit wajahnya terbakar dan meninggalkan parut.

Encik L juga mengalami pengalaman sama. Dia menjalani program menguruskan badan dengan ‘suntikan tanpa jarum’ yang mengakibatkan kulit di sekeliling pinggangnya ‘ditumbuhi’ 30 kesan melecet yang akhirnya melarat menjadi luka.

Malangnya, kedua-dua kisah ini sering kita dengar. Puan C dan Encik L bukan mangsa pertama pembedahan silap yang dilakukan oleh pakar terapi tidak berkelayakan supaya mereka kelihatan cantik.

Setiap tahun, Kementerian Kesihatan, Tribunal Tuntutan Pengguna dan Biro Perkhidmatan Awam MCA serta Jabatan Aduan terus menerima pelbagai aduan daripada segenap lapisan pengguna.
Kebanyakan kes ini sering dilaporkan dalam akhbar untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, manakala pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas salun kecantikan atau pakar terapi itu.

Saya memandang berat terhadap hakikat bahawa kita terus mendengar kisah seperti disebut itu. Saya yakin lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya prosedur pembedahan kosmetik tidak bertauliah yang ditawarkan oleh doktor tidak berlesen atau tidak terlatih.
Semua prosedur kosmetik sama ada rawatan laser, suntikan, program menguruskan badan atau pembedahan plastik, hendaklah dilakukan oleh pakar profesional terlatih dan berkelayakan kerana ia memerlukan kemahiran teknikal dan membabitkan risiko ke atas pesakit.

Anda tentu sekali tidak mahu mekanik kereta membedah otak anda, dan prinsip yang sama juga digunakan dalam rawatan kecantikan. Hanya doktor yang terlatih khusus seperti pakar kulit atau pakar bedah kecantikan layak menjalankan pembedahan berkenaan.

Jikalau anda berasa was-was mengenai kelayakan seseorang doktor, anda boleh menyiasat melalui bahagian ‘Daftar Perubatan’ di laman sesawang Majlis Perubatan Malaysia (mmc.gov.my).

Awas! Jangan sesekali mempercayai pakar berkelayakan sekiranya dia menjalankan operasi di pusat kecantikan atau klinik swasta! Pusat kecantikan dan klinik swasta diharamkan menjalankan pembedahan kosmetik atau kecantikan. Semua prosedur ini hanya boleh dilakukan di hospital, termasuk hospital kerajaan yang mempunyai pakar bedah plastik yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, hospital swasta berlesen atau pusat rawatan ambulatori swasta yang berlesen.

Beberapa salun kecantikan mungkin langsung tidak mempunyai doktor, sebaliknya hanya ada ahli terapi kecantikan. Ini adalah petanda yang jelas bahawa salun itu bukanlah tempat untuk menjalani sebarang bentuk prosedur yang membabitkan suntikan, laser atau pembedahan.

Pengguna hendaklah berhati-hati dengan dakwaan yang hebat atau ‘indah khabar dari rupa’ yang dibuat oleh beberapa pusat kecantikan. Dakwaan seperti ‘Turunkan berat badan 10 kilogram dalam tempoh 10 hari’ atau ‘Kulit menjadi putih serta-merta’ mudah membuat sebilangan orang terpengaruh. Isu yang membabitkan imej, seperti masalah berat badan, kulit, rambut gugur atau ukuran beberapa bahagian tertentu badan menjadikan mereka berasa rendah diri berbanding dengan ‘insan yang sempurna’ yang muncul dalam kebanyakan iklan, sekali gus membuat mereka mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu sebagai jalan penyelesaian mudah terhadap masalah mereka.

Anda juga perlu berwaspada terhadap pakej rawatan yang terlalu murah, terutama jika pusat kecantikan itu terus mendesak anda supaya menyertai ‘promosi’ itu. Paling baik ia mungkin membazirkan wang, atau paling buruk, rawatan itu mungkin meninggalkan parut buat selama-lamanya atau memudaratkan kesihatan anda.

Pada waktu sama Kementerian Kesihatan mengambil tindakan dengan memperkenalkan garis panduan untuk mengawal industri kecantikan. Peraturan ini akan meliputi semua prosedur dan rawatan pembedahan kecantikan yang mewajibkan kehadiran doktor perubatan dan doktor gigih yang berdaftar. Apabila garis panduan ini siap sedia, ia akan menggariskan dengan jelas perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan, khususnya mengharamkan pakar perubatan atau doktor gigi yang tidak berdaftar daripada menjalankan sebarang prosedur yang membabitkan suntikan atau pembedahan laser.

Seperti biasa kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan serta polis untuk mengawasi salun kecantikan tidak berlesen dan mengambil tindakan bila perlu.

Kami perlukan masyarakat umum menjadi mata dan telinga dalam soal ini. Mereka yang pernah menjadi mangsa, atau mengetahui mengenai khidmat prosedur kecantikan haram ini hendaklah melaporkan kepada Kementerian Kesihatan supaya kami boleh mengambil tindakan keras bagi melindungi pengguna.

Perlindungan terbaik datang daripada anda sendiri, iaitu caveat emptor atau ‘berwaspada pembeli.’ Sekiranya anda bercadang untuk melakukan sebarang bentuk rawatan atau pembedahan untuk memperbaiki penampilan diri, anda perlu timbang keputusan dengan teliti, sama seperti jika anda menjalani rawatan perubatan.
Anda perlu bertanya banyak soalan, pertimbangkan risiko dengan kebaikan, jangan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu wakil jualan. Satu keputusan silap mungkin meninggalkan parut yang berkekalan sepanjang hayat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Februari 2012
M T W T F S S
« Jan   Mar »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
272829  

Blog Stats

  • 658,770 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 56 other followers

Kategori

Top Rated

%d bloggers like this: