MUDAH DIPERDAYA

Tinggalkan komen

Mei 19, 2012 oleh ustazkenali

CONTOH PENIPUAN TERHADAP PENGGUNA
Berikut disenaraikan beberapa jenis penipuan yang sering ditemui samada melalui iklan di suratkhabar tempatan mahupun internet:

Contoh 1 : Mengisi sampul surat
Merupakan satu kaedah yang paling klasik sekali dimana ia bermula semasa kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat sekitar tahun 1920-an dan 1930-an. Anda dijanjikan akan dibayar antara RM1-2 untuk setiap sampul surat yang anda isikan. Anda hanya perlu membayar sedikit yuran dan anda DIJAMIN akan menerima sehingga 1,000 sampul surat seminggu yang telah siap diisi dan lengkap ditampal dengan setem! Apa yang tidak dinyatakan ialah anda perlu mendapatkan alamat bakal pelanggan.
Setelah pembayaran dibuat, anda akan menerima satu manual ringkas dan contoh flyer yang perlu anda edar atau iklankan dalam usaha anda mendapatkan alamat pelanggan. Setelah mendapat langganan dan bayaran, anda hanya perlu fotokopi manual ringkas tersebut dan berikan kepada pelanggan anda. Kaedah yang sungguh bijak tetapi tidak beretika.

Contoh 2 : Surat/e-mail berantai (perolehi wang segera)
Jika anda sering mencari peluang pendapatan dari rumah melalui internet dan suratkhabar, anda pastinya pernah menerima dan melihat surat/e-mail berantai ini. Mereka menjanjikan bahawa anda hanya perlu menghantar surat/e-mail bersama sejumlah wang kepada nama mereka yang tersenarai, kemudian mengeluarkan nama diaras bawah sekali dan digantikan dengan nama anda, dengan harapan suatu hari anda akan menjadi jutawan.
Ia juga ada dikatakan didalam versi kutu atau konsep saling membantu melalui kaedah sedekah dimana anda bersetuju untuk memberikan wang tersebut tanpa sebarang paksaan. Pada dasarnya ia adalah satu bentuk skim piramid. Biasanya senarai ini akan dimanipulasikan dimana hanya satu nama sahaja yang sentiasa berada diatas(pengasas program) dan akan menerima wang sangat banyak.

Contoh 3 : Sila dail nombor 600 untuk maklumat lanjut
Anda tidak perlu menghabiskan banyak masa dan wang dengan mendail nombor-nombor sebegini. Anda seharusnya tahu bahawa kos panggilan ke nombor 600 sangat mahal iaitu RM1.95 seminit (7.00 pagi-7.00 mlm) dan RM0.98 (7.00 mlm-7.00 pagi). Bayangkan jika anda menghabiskan 5 minit diwaktu siang, anda telah membazirkan hampir RM10.00 dan disitulah mereka memperolehi keuntungan. Simpan wang anda dan jangan mendail mana-mana nombor 600 hanya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa yang dikatakan peluang bekerja dari rumah.

Contoh 4 : Senarai nama syarikat
Jangan terpedaya dengan membeli senarai syarikat yang memerlukan khidmat pekerja dari rumah melalui kaedah ini. Anda membayar untuk mendapatkan senarai syarikat yang mencari pekerja dari rumah sama seperti anda sama ada dalam bentuk digital atau bercetak. Antara syarikat yang biasa tersenarai ialah syarikat yang menawarkan pekerjaan pemasangan barangan, pengurusan katalog, syarikat MLM, dan lain-lain. Apa yang menjadi masalahnya ialah, senarai ini tidak semestinya betul-betul benar kerana syarikat tersebut mungkin tidak mencari pekerja dari rumah ataupun tidak pernah bersetuju untuk disenaraikan, atau tidak dapat dipastikan adakah perniagaan tersebut dijalankan secara sah atau masih terbuka peluang untuk anda memohon. Biasanya adalah sukar untuk anda mendapatkan kembali wang anda.

Contoh 5 : Memasang barangan di rumah
Biasanya peluang serupa ini akan memberitahu bahawa ada akan memasang barangan seperti anak patung, komponen elektronik, permainan kanak-kanak, produk kegunaan hotel dan pelbagai lagi projek kraftangan yang boleh dilakukan dirumah dan dijanjikan upah yang lumayan. Apa yang perlu anda lakukan ialah dengan membayar deposit atau yuran pendahuluan (yang dijanjikan akan dikembalikan semula) dan anda akan menerima segala peralatan, barangan dan arahan yang perlu dilaksanakan.
Anda akan bernasib baik jika menerima produk yang dijanjikan selepas membuat pembayaran tetapi ramai pengguna yang telah tertipu dengan kaedah ini. Terdapat juga penipuan yang dilakukan dengan cara, apabila anda telah menerima produk dan menyiapkan mengikut arahan, anda akan dimaklumkan bahawa produk anda tidak menepati spesifikasi kehendak syarikat pengeluar. Syarikat ini sebenarnya membuat keuntungan melalui penjualan pek permulaan dan bukannya produk yang dipasang. Ini merupakan antara contoh penipuan yang dilakukan secara terancang dan sistematik oleh sesetengah syarikat.

Contoh 6 : Menaip dari rumah (kerani kemasukan data, kerani, kerani pemprosesan e-mail dan lain-lain lagi)
Peluang seperti ini juga sering diiklankan untuk memerangkap anda dengan pelbagai nama jawatan. Biasanya selepas menjelaskan sejumlah wang kepada agensi penipuan ini hanya untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda biasanya akan menerima bahan-bahan melalui disket, muat turun atau maklumat bercetak yang akan memberikan anda pelbagai maklumat berkaitan dimana dan bagaimana anda boleh mengiklankan tentang peluang menaip dari rumah serta risalah jualan (dalam flyer, surat, e-mail, laman web,dan lain-lain lagi) akan diberikan kepada sesiapa yang berminat. Apabila mereka membuat pesanan untuk mendapatkan maklumat lanjut (sama seperti yang anda telah lakukan sebelum ini), anda hanya perlu mencetak/menyalin semua bahan yang anda telah terima kepada pelanggan anda. Sebenarnya ia akan cuba menjadikan anda seorang PENIPU!! Kerana hakikatnya tiada sebarang produk yang dijual, hanya maklumat tentang kaedah dan bahan mengiklankannya.

Contoh 7 : Perolehi wang dengan melayari Internet
Anda dikehendaki untuk daftar masuk ke laman internet tersebut sebanyak beberapa kali atau memuat turun sesuatu perisian pelayar internet ke komputer anda, dan membaca iklan atau melihat papan iklan yang tertera. Syarikat laman tersebut akan mengenakan bayaran kepada syarikat-syarikat yang membuat iklan dan ganjaran akan diberikan kepada ahli yang memenuhi kuota. Apa yang anda tidak ketahui ialah, anda akan mengambil masa yang lama untuk mencapai kuota yang telah ditetapkan sebelum anda layak menerima skim bayarannya, itupun sekiranya anda berjaya mencapainya. Tiba masa anda menerima bayaran, jumlah tersebut akan ditolak pula dengan kos pengurusan (boleh mencecah 20 peratus). Situasi yang lebih teruk yang boleh berlaku ialah penutupan laman web tersebut sebelum mana-mana peserta sempat menerima bayarannya.
Skim seperti ini semakin bercambah dan dalam pelbagai variasi seperti PAID EMAIL, PAID TO SURF, PAID TO DOWNLOAD dan sebagainya . Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin mencuba skim-skim seperti ini, anda perlu memerhatikan perkara-perkara ini terlebih dahulu:

•Berapa bayaran yang akan anda terima untuk aktivit yang perlu anda lakukan (membaca setiap e-mel, melawat website dan sebagainya)
•Apa yang perlu anda buat selain daripada membaca e-mel, (contoh: sesetengah skim mengkehendaki anda memasuki laman web yang disertakan di dalam e-mel). Boleh atau tidak rakyat Malaysia menyertainya? Sesetengah skim hanya untuk warganegara Amerika Syarikat sahaja.
•Berapakah jumlah paling minimum yang dibayar?Buat pengiraan berapa lamakah masa yang diperlukan untuk mendapatkan bayaran minimum tersebut? Ingat bahawa anda perlu membayar akses internet dan bil telefon untuk membaca e-mel tersebut.
•Bagaimanakah pembayaran akan dibuat?. Sekiranya pembayaran dibuat dengan menggunakan cek (US Dolar), sebahagian kecil akan diambil oleh pihak bank sebagai caj perkhidmatan. Jika pembayaran dimasukkan ke akaun online seperti Paypal, Clickbank, Stormpay,e-gold dan lain-lain, sila pastikan samada ia mengiktiraf urusniaga dengan warganegara Malaysia dan diiktiraf urusniaganya oleh pihak berkuasa di negara ini..

Contoh 8 : Melobi wang
Skim ini telah wujud semenjak beberapa tahun yang lalu. Daripada permulaannya dahulu menggunakan surat dan faks, kini ia semakin canggih, dengan menggunakan e-mel sebagai medium utama. Skim tersebut memberitahu anda yang pengirimnya (kebiasaannya daripada negara di Benua Afrika) mempunyai sejumlah wang yang banyak, memerlukan pertolongan anda untuk memindahkan wang ini ke dalam akaun bank anda, dan sekiranya berjaya, anda akan mendapat peratusan daripada jumlah wang tersebut. Ramai ahli peniagaan yang bijak, dan para remaja telah terpedaya oleh skim seperti ini kerana sifat tamak. Sebahagian lagi telah kehilangan sejumlah wang yang besar daripada akaun bank mereka, ataupun kehilangan barangan peribadi yang digunakan dalam jenayah yang lain. Berita cara penipuan seperti ini pernah disiarkan di suratkhabar METRO dan KOSMO.

Contoh 9 : Internet MLM
Jika anda pernah terdengar syarikat MLM dan anda pasti tahu bahawa ia merupakan salah satu jemis perniagaan yang popular di Malaysia. Salah satu masalah yang sering menimpa sistem MLM ialah kewujudan Sistem Piramid iaitu proses kenaikan pangkat melalui penajaan ahli menjadi lebih penting daripada proses menjual produk atau perkhidmatan.
Syarikat-syarikat ini menjanjikan pulangan yang hebat melalui skim piramid dan dan ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa kepada Skim Cepat Kaya walaupun telah banyak amaran yang diberikan oleh kerajaan. Sebaik-baiknya periksa latar belakang syarikat tersebut sebelum anda membuat keputusan untuk menyertainya sebagai ahli. Pastikan syarikat MLM yang ingin disertai berdaftar dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mereka mempunyai lesen jualan langsung yang sah.
Jika syarikat tersebut tidak berdaftar di Malaysia, anda tidak boleh membuat aduan kepada mana-mana pihak berkuasa tempatan. Anda juga tidak boleh membuat aduan kepada orang yang memperkenalkan skim tersebut kepada anda kerana dia juga hanya merupakan seorang ahli sahaja.

Contoh 10 : Sistem affiliate
Sistem affiliate ialah dimana seseorang individu akan dibayar sejumlah komisen apabila berjaya membuat jualan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh penganjur sistem. Biasanya penganjur boleh jadi orang perseorangan mahupun syarikat namun ia bukanlah syarikat yang mempunyai lesen Jualan Langsung. Maka ia tidak dikategorikan sebagai jualan langsung.
Sejak akhir-akhir ini semakin ramai rakyat Malaysia yang mula membuat sistem affiliate sendiri. Namun kebanyakkannya lebih menjurus kepada bentuk sistem piramid yang lebih mengutamakan kemasukan ahli baru berbanding kualiti produk.

Kesemua ini hanyalah maklumat bagi tujuan pendidikan pengguna sahaja. Ianya tidak melambangkan keseluruhan sistem perniagaan di Malaysia. Tips yang diberikan ini hanyalah untuk peringatan dan berkongsi maklumat sesama pengguna.

ViA UK 19 MEI 2012

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Mei 2012
M T W T F S S
« Apr   Jun »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Blog Stats

  • 658,388 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 56 other followers

Kategori

Top Rated

%d bloggers like this: