Latihan Rumusan BM 2

Tinggalkan komen

Julai 23, 2012 oleh ustazkenali

Berdasarkan petikan di bawah buat satu rumusan yang panjang lebih kurang 200 patah perkataan

Pastian ada :

1. I isi utama

2. 5 Isi sokongan

3. 1 Kesimpulan

4. Gunakan kata hubung yang sesuai.

SEPATUTNYA rencana ini sudah tidak ditulis lagi. Isu kenaikan harga barang menjelang perayaan bukan baru. Saban tahun, isu yang sama muncul kemudian hilang dan muncul lagi pada tahun berikutnya.

Tetapi kerana ini isu rakyat, maka tidak ada apa alasan sekalipun untuk kita berasa bosan memperkatakan mengenainya. Kita tidak boleh menafikan bahawa pengguna adalah golongan yang sering menjadi mangsa apabila harga barang melambung.Dengan kesedaran kepenggunaan yang rendah, golongan ini dengan mudah menerima apa saja harga barangan yang ditetapkan oleh pembekal. Pengguna kita juga tidak banyak soal tentang kewajaran kenaikan atau mengambil tindakan dengan mencari alternatif lain sebagai ganti.

Kerana itu pengguna kita wajar dibantu. Tindakan nakal pembekal yang barangkali mengambil kesempatan di atas keperluan sesuatu barangan perlu ditangani oleh pihak yang berwajib.
Kenapa harga barang naik menjelang perayaan? Apakah ini satu strategi pihak pembekal, kelonggaran penguatkuasaan atau sikap pengguna sendiri yang tidak pernah menunjukkan kuasa mereka?
Secara teorinya, isu ini tidak menjadi isu lagi kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan para pengguna, masing-masing sudah ada pengalaman mendepani kenaikan harga barang kawalan. Sementara kenaikan harga barang kawalan menjelang perayaan pula memberi gambaran seolah-olah isu ini suatu yang tidak boleh diatasi sampai bila-bila. Kerana itu kita wajar melihat isu kenaikan harga barang terutamanya barang kawalan daripada dua sisi.

Sisi pertama ialah KPDNHEP dan sisi kedua ialah pengguna. Kementerian ini telah menetapkan harga siling 15 barangan kawalan pada musim perayaan tahun ini. Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan KrismasTetapi kita jangan lupa, harga siling bukan bererti tidak ada kenaikan harga. Bagi pengguna, harga siling bukanlah isu mereka. Isu mereka adalah dalam harga barang keperluan yang dinaikkan dan ini mendapat restu pihak berkuasa. Mereka yang menjadi pelanggan setia Pasar Datuk Keramat atau Pasar Chow Kit di Kuala Lumpur misalnya tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang harga sesuatu barang itu wajar atau tidak. Bagi mereka yang penting barang itu ada atau tidak.

Mahal “sedikit’’ tidak menjadi isu asalkan barang keperluan diperoleh dengan mudah. Maka KPDNHEP kena realistik bahawa bukan semua pengguna yang tertindas dengan kenaikan harga akan tampil membantu kementerian ini. Kenapa apabila ada banyak permintaan, sesuatu barang itu dinaikkan harganya? Ini tentulah ada kecenderungan pembekal untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
Baru-baru ini Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menaikkan harga daging ayam sebanyak 65 sen sekilogram. Daging ayam adalah salah satu barang kawalan yang mempunyai harga silingnya. Tetapi bagi KPDNHEP, sekalipun menaikkan 65 sen sekilogram tetapi ia masih di bawah harga siling iaitu RM6.70 sekilogram. Jadi kenaikan itu mendapat restu daripada kementerian secara teknikalnya. Bagi kementerian, kenaikan itu tidak menyalahi peraturan yang diperuntukkan dalam Akta Kawalan Harga 1946. Pihak FLFAM dilaporkan berkata, kenaikan 65 sen sekilogram daging ayam itu disebabkan faktor permintaan bekalan semasa. Maknanya kerana permintaan daging ayam pada bulan Ramadan hingga Aidilfitri ini tinggi maka harga pun dinaikkan. Apa bezanya permintaan rendah atau tinggi boleh dijadikan alasan yang waras untuk menaikkan harga daging ayam? Adakah permintaan yang tinggi akan melibatkan kos yang besar dan margin keuntungan menjadi kecil?

Tetapi KPDNHEP telah merestui kenaikan harga daging ayam ketika sebahagian besar daripada pengguna memerlukan barangan itu. Menaikkan harga barang ketika barang tersebut menjadi keperluan adalah menangguk di air keruh. Ketika ini harga daging ayam tinggi melangit macam mana sekalipun pengguna tetap membelinya. KPDNHEP perlu mencari pendekatan dan penyelesaian yang lebih adil kepada pengguna dan juga pembekal. Banyak isu-isu pengguna yang tertangguh kemudian disusuli pula dengan isu kenaikan harga barang keperluan. Ini sedikit sebanyak memperlihatkan masih ada ruang yang boleh dipergunakan oleh pembekal untuk menindas pengguna. Sebenarnya FLFAM tidak ada sebab untuk menaikkan harga daging ayam. Tetapi kerana secara teknikal perbuatan itu bukan satu yang melanggar peraturan harga siling, maka perkara ini dibolehkan.

Di sisi pengguna pula, pembekal dengan sewenang-wenang menaikkan harga banyak disebabkan sikap pengguna yang tidak menggunakan kuasa kepenggunaan mereka.Pengguna tentu saja tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk melindungi mereka. Pengguna juga mempunyai peranan supaya setiap kali menjelang musim perayaan tidak ada kenaikan harga barang. Ayam misalnya bukanlah makanan asas yang tidak boleh ditukar ganti sama ada hari biasa atau menjelang perayaan. Kenapa pengguna yang merasakan pembekal menindas mereka memilih makanan lain menggantikan ayam? Kalau pengguna sama-sama bertindak mencari alternatif lain menggantikan ayam, apakah pembekal akan terus dengan keangkuhan mereka? Kenapa pada bulan Ramadan dan menjelang perayaan kita tidak boleh berbelanja seperti biasa? Kenapa penggunaan daging ayam mesti meningkat pada Ramadan dan Aidilfitri sedangkan jumlah pengguna adalah sama? Maka eloklah kita sama-sama memperkasakan kuasa pengguna dan pada masa yang sama bersedia untuk mengubah keadaan. Sepatutnya Ramadan tidak mengubah apa yang kita makan dan apa yang kita belanjakan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Julai 2012
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Blog Stats

  • 659,195 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 56 other followers

Kategori

Top Rated

%d bloggers like this: