Tambah Bahana Tambah Hutang

Tinggalkan komen

Ogos 8, 2012 oleh ustazkenali

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — Kikis tabiat suka berhutang dan liat membayar hutang.

Ini respons Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) dalam mengulas isu budaya berhutang rakyat negara ini.
Sehubungan itu, katanya, rakyat negara ini amat perlu diberi kesedaran dan kemahiran mengurus kewangan termasuk hutang. Tambahan sekarang, institusi kewangan itu sendiri menggalakkan orang berhutang termasuk memberi kemudahan kad kredit. “Ada institusi kewangan yang begitu mudah menawarkan pinjaman kepada pemegang akaun mereka walaupun tidak diminta. “Bagi yang mudah terpengaruh, akan menerima tawaran tersebut dan akhirnya terjebak dengan hutang yang tidak berkesudahan,” Mohd Yusof memberitahu Bernama dalam wawancara di sini baru-baru ini.
PERLU PANTAU
Menurut Mohd Yusof, BNM perlu memantau kegiatan institusi kewangan seperti ini kerana ia adalah amalan yang tidak sihat di mana terang-terangan menggalakkan orang berhutang. Ini juga selari dengan pelbagai usaha tegas kerajaan untuk membendung budaya meminjam atau berhutang di kalangan rakyat negara ini. Baru-baru ini pun Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan garis panduan baru kad kredit untuk mengekang masalah hutang pemegang kad kredit. Dalam masa yang sama kerajaan dilihat turut tegas mengambil langkah memerangi kegiatan ah long atau ceti haram kerana ia adalah antara punca mudah berhutang. Mohd Yusof lalu merujuk kepada satu kenyataan BNM di mana sehingga akhir November 2010, hutang isirumah mencecah sebanyak RM577 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion pinjaman peribadi dan RM225 bilion pula pinjaman perumahan.
RISIKO MUFLIS
Risiko diisytihar muflis atau bankrap. Ini yang perlu difikirkan oleh mereka yang begitu mudah mengambil pinjaman peribadi dengan institusi kewangan. Sekiranya si berhutang gagal menjelaskan ansuran pinjaman tersebut dua kali berturut-turut, institusi kewangan menghantar notis kepada si berhutang, katanya. Tambahnya, jika jumlahnya melebihi RM30,000, institusi kewangan boleh mengambil tindakan untuk mengisytiharkan si berhutang sebagai muflis! “Walaupun begitu si berhutang masih liat untuk membayar hutang di sebalik kesannya apabila gagal menjelaskan hutang,” tegasnya. Beliau merujuk kepada statistik kes muflis Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010 di mana seramai 80,348 orang disenarai muflis.
SEBAB MUFLIS
Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai ialah hutang cukai pendapatan, hutang kad kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewabeli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain. Statistik daripada sumber yang sama menunjukkan sebab kebankrapan utama ialah keberhutangan yang lain (29.05 peratus), diikuti sewabeli kenderaan (24.12 peratus), hutang pinjaman perniagaan (10.93 peratus), pinjaman perumahan (7.49 peratus dan hutang kad kredit (5.50 peratus). Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh yang dikaji menunjukkan paling ramai muflis ialah Melayu 39.76 peratus diikuti Cina 33.36 peratus, India 9.53 peratus sementara lain-lain 17.34 peratus.
KES AH LONG
Apabila diaju pula isu meminjam dengan ah long, Mohd Yusof mengakui ia adalah satu fenomena yang amat membimbangkan. Beliau menegaskan masalah tersebut berlaku di kalangan mereka yang suka berhutang dan sukar mendapatkan pinjaman peribadi kerana nama mereka telah disenaraihitamkan. Mereka berkenaan juga, katanya tidak boleh lagi menggunakan kad kredit kerana telah sampai had kredit yang dibenarkan serta menanggung tunggakan hutang kad kredit. “Mahu tidak mahu mereka terpaksa meminjam dengan ah long meskipun tahu kesan buruk yang akan dialami sekiranya gagal melunaskan hutang. “Biasanya mereka yang berhutang dengan ah long beranggapan mereka mampu membayar balik kerana berfikir kadar bayaran balik adalah rendah. “Apa yang tidak mereka sedari ialah ah long mengenakan kadar faedah yang tinggi. Jika mereka gagal menjelaskan hutang pada masa yang ditetapkan, kadar faedah meningkat berkali ganda sehingga sampai kepada peringkat mereka tidak mampu membayar hutang tersebut,” jelas Mohd Yusof.
MUDAH DAN SEGERA
Menurut beliau ada juga yang meminjam dengan ah long kerana keperluan mendesak yang memerlukan wang tunai segera untuk membayar hutang, membayar yuran sekolah dan perubatan. Manakala ada yang menggunakan hutang ah long untuk menyertai skim cepat kaya, modal pusingan perniagaan, malah untuk berjudi. “Masalah ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai simpanan dan untuk memohon pinjaman peribadi, lazimnya ia mengambil tempoh yang lama. “Oleh itu meminjam dengan ah long dilihat lebih mudah dan wang boleh diperoleh dengan segera,” tambahnya.Statistik yang dikumpul Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA yang diperolehi Bernama menunjukkan dari 2005 hingga empat bulan pertama 2011, kes ah long yang dikendalikan jabatan berkenaan berjumlah 2,844 kes/peminjam. Daripada jumlah itu, peminjam Cina seramai 2,187, Melayu 423 dan India 234. Pecahan peminjam lelaki dan perempuan untuk tempoh yang dikaji menunjukkan daripada 2,844 kes/peminjam, 2,119 adalah lelaki dan bakinya, 725 adalah perempuan. Nilai hutang yang diberikan ah long pula sekitar RM238 juta!
MEMANG PANTAU
Menurut Mohd Yusof, Fomca memang dari masa ke semasa memantau sikap suka berhutang dan ia merangkumi semua peringkat masyarakat dan kaum.Pemantauan ini dilaksanakan susulan daripada program pengurusan kewangan dengan BNM oleh Fomca, yang bermula Jun 2010 hingga April ini. “Data berkaitan kadar pinjaman dan hutang rakyat Malaysia digunakan semasa program pengurusan kewangan untuk memberikan kesedaran kepada peserta tentang tabiat buruk berhutang.”Selain itu, Fomca dengan kerjasama Bank Negara sedang menerbitkan buletin RINGGIT secara bulanan. “Buletin ini memuatkan rencana mengenai pengurusan kewangan peribadi,” tambah Mohd Yusof.

PERLU DIPERHEBAT
Program pengurusan kewangan perlu diperhebat kepada masyarakat khususnya di peringkat kanak-kanak, demikian saranan Mohd Yusof bagi pihak Fomca. Pada awal tahun 1970an, ketika pejabat pos memperkenalkan skim simpanan pejabat pos, kanak-kanak digalakkan menyimpan wang menggunakan setem.”Secara tidak langsung skim ini menggalakkan kanak-kanak mengamalkan sikap menabung kerana tabiat menabung perlu disemai sejak dari usia kanak-kanak,” katanya. Menurut beliau, pada masa ini memang ada beberapa institusi kewangan yang mengadakan skim simpanan untuk kanak-kanak seperti Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat. Bank Negara juga, katanya mempunyai program kewangan yang khusus untuk kanak-kanak iaitu program buku wang saku dan laman sesawang duit saku, http://www.DuitSaku.com Bagaimanapun, program pendidikan kewangan ini dilakukan berdasarkan aktiviti yang dijalankan institusi ini secara berjadual dan berkala sahaja. Beliau turut mencadangkan supaya pendidikan kewangan diterapkan dalam kurikulum sekolah agar kemahiran ini diwajibkan kepada semua pelajar supaya dapat dimanfaatkan apabila mereka besar dan bekerja.

URUS KEWANGAN
Mohd Yusof berkata, memang ada agensi dan badan bukan kerajaan mengadakan program pengurusan kewangan bagi golongan muda dan dewasa. Pihak berkenaan termasuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suruhanjaya Sekuriti melalui Securities Industry Development Corporation dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Bagi mengelakkan pertindanan dari segi sasaran program dan bagi menyelaraskan program pengurusan kewangan, Fomca, menurut Mohd Yusof, telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan (SPKK). Suruhanjaya tersebut, katanya perlu memberi tumpuan kepada empat fungsi utama iaitu membina kesedaran awam terharap sumber sedia ada, membangunkan strategi penyebaran maklumat secara khusus dan mengikut golongan sasar, mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta dan akhir sekali, melakukan kajian dan penilaian terhadap program pendidikan kewangan.
TANGGUNGJAWAB UTAMA
Mohd Yusof turut menggariskan beberapa tanggungjawab utama yang perlu digalas SPKK. Antaranya menggalak serta membantu sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan dalam usaha pendidikan pengurusan kewangan. SPKK juga perlu mengkoordinasi semua program pendidikan pengurusan kewangan semua agensi untuk meminimumkan sebarang pertindanan dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan. Di samping itu, ia juga perlu membangunkan satu strategi nasional untuk mempromosi pendidikan pengurusan kewangan untuk semua rakyat Malaysia dan membangunkan satu laman web pendidikan peringkat kebangsaan untuk membekal maklumat tentang pendidikan pengurusan kewangan. “Ia juga perlu mewujudkan satu talian tol bebas untuk orang ramai mendapatkan bahan yang be rkaitan dengan pengurusan pendidikan kewangan,” kata Mohd Yusof. Dari segi mengurus hutang, beliau berkata ia mesti dikendalikan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Akta bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). Beliau menambah pengguna juga hendaklah dimaklumkan tentang semua caj dan sebarang caj yang melibatkan pengguna sebelum caj tersebut dikenakan. “Dalam semua hal, pengguna perlu dilindungi oleh Bank Negara dan semua kontrak hendaklah ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah dan boleh difahami,” katanya.
MENABUNG DAN MELABUR
Dalam masa yang sama, Mohd Yusof berkata, masyarakat juga perlu diberi pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan yang ada untuk keperluan masa depan termasuk untuk kecemasan. Pakej simpanan yang perlu diberi pendedahan ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, insurans hayat/takaful (termasuk yang menyediakan pakej simpanan) serta amanah saham. Beliau turut menyarankan supaya pelaburan terhadap emas perlu diberi pertimbangan memandangkan pada masa ini harga emas semakin meningkat dan kerana nilainya yang stabil. “Masyarakat perlu kembali kepada tabiat masyarakat dahulu. Apabila mereka mempunyai wang hasil daripada penjualan hasil tanaman, mereka akan membeli emas sebagai bekalan masa depan. “Beberapa syarikat swasta dan kerajaan negeri juga mempunyai produk wang emas seperti dinar emas dan dirham perak. Ia juga pelaburan untuk keperluan masa depan. “Jika mereka perlukan wang, mereka boleh menjual dinar atau dirham tersebut atau memajaknya di pajak gadai. Ini adalah saluran untuk memperoleh wang dalam masa yang singkat. Apabila mereka mempunyai wang kelak, mereka boleh menebus semula,” kata Mohd Yusof.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ogos 2012
M T W T F S S
« Jul   Sep »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Blog Stats

  • 658,770 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 56 other followers

Kategori

Top Rated

%d bloggers like this: