Negara Berpendapatan Tinggi, Rakyat Banyak Hutang, Jenayah di mana-mana

Tinggalkan komen

Oktober 21, 2013 oleh ustazkenali

DASAR kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi (high income country) tentulah diterima baik oleh rakyat. Tetapi kita harus ambil kira kesan pendapatan tinggi, terutama dalam bentuk upah dan gaji kepada kos sara hidup negara.

Apabila upah atau gaji dinaikkan, tidak dapat tidak kos barangan dan khidmat akan turut naik. Kenaikan ini akan mengurangkan daya beli (purchasing power) berbanding dengan pendapatan yang dinaikkan.

Kita tahu benar negara-negara yang berpendapatan amat tinggi dari segi upah yang diterima tetapi taraf hidup mereka jauh lebih rendah daripada kita. Pendapatan tinggi semata-mata tidak bermakna kekayaan dengan taraf hidup yang tinggi.

Yang akan menjadikan kehidupan kita setaraf dengan negara maju ialah daya beli pendapatan kita yang sama tinggi dengan daya beli penduduk negara maju. Kenaikan pendapatan tanpa kenaikan daya beli tidak bermakna sama sekali. Sebaliknya akan menghalang pembangunan negara ke arah sasaran menjadi negara maju.

Negara-negara yang ditakrif sebagai negara maju tidak sahaja memiliki pendapatan per kapita yang tinggi tetapi mereka memiliki daya pengeluaran dan produktiviti yang tinggi dengan kemajuan mereka dalam ilmu pengetahuan, kecanggihan dan kebesaran industri serta perniagaan dan perusahaan. Negara mereka dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih dan mencukupi untuk keselesaan hidup rakyat serta membantu aktiviti perniagaan dan perusahaan. Infrastruktur ini termasuklah jalan-jalan yang menghubungi semua bandar dan kampung, bekalan api dan air, khidmat pelajaran, kesihatan dan lain-lain.

Banyak terdapat negara yang berpendapatan amat tinggi tetapi tidak dianggap maju.

Kita perlu pisahkan kemajuan sesebuah negara daripada pendapatannya yang tinggi. Walaupun negara maju biasanya disertai dengan pendapatan yang tinggi bagi semua rakyat, tetapi pendapatan tinggi dengan sendirinya tidak bermakna negara sudah maju.

Hasrat kerajaan tentulah untuk menjadikan bukan sahaja negara berpendapatan tinggi tetapi negara maju dengan kuasa daya beli rakyat yang tinggi. Untuk ini tumpuan perlu diberi kepada meningkatkan produktiviti yang akan menyumbang kepada daya saing (competitiveness) negara. Kenaikan daya saing negara-negara Timur inilah sehingga mengalahkan negara Barat yang menjadikan beberapa negara Timur maju.

Menaikkan pendapatan adalah mudah. Umpamanya apabila gaji atau upah minimum dinaikkan maka matlamat pendapatan tinggi tercapai. Tetapi seperti yang disebut di atas, kenaikan ini tidak menjadikan rakyat lebih kaya, disebabkan daya beli tidak naik bersama pendapatan.

Umpamanya kenaikan upah minimum dari RM700 sebulan kepada RM900 sebulan akan membawa dua kesan. Mereka yang sedang menerima RM900 sebulan akan kecewa jika upah mereka tidak dinaikkan supaya yang berada di bawah mereka tidak mendapat gaji sama dengan mereka. Apabila gaji kumpulan ini dinaikkan maka yang dahulu mendapat upah lebih tinggi akan meminta kenaikan supaya jarak yang lama dikekalkan. Akhirnya kenaikan gaji minimum kepada RM900 akan disusuli kenaikan gaji atau upah di semua peringkat. Kenaikan yang menyeluruh ini tidak dapat tidak akan menaikkan kos pengeluaran semua barangan dan khidmat. Dengan perkataan lain, kenaikan gaji dan upah tanpa kenaikan produktiviti akan menaikkan kos sara hidup.

Yang kedua, kenaikan gaji dan upah tetap akan menjadikan barangan dan khidmat kurang kompetitif di pasaran dunia. Pelabur tempatan dan asing juga tidak akan melabur dan yang menganggur tidak dapat bekerja untuk sara hidup mereka.

Malaysia adalah negara dagang. Pendapatan kita datang dari eksport barangan, bahan mentah dan khidmat yang dipasar oleh kita. Jika dagangan kita merosot, ekonomi kita juga akan merosot.

Sebenarnya pendapatan tinggi perlu disertai dengan produktiviti yang tinggi. Ini boleh dilakukan dengan menukar industri mengguna buruh kasar yang ramai (labour intensive) kepada industri lebih canggih yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Industri hitech yang memerlukan lebih kecekapan akal fikiran daripada kerja tangan akan menghasilkan barangan yang tinggi tambah nilainya. Tetapi industri ini memerlukan pekerja lebih terlatih, berpelajaran tinggi dan cekap, seperti jurutera. Gaji mereka tentulah tinggi menepati hasrat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi (high income).

Perkembangan

Untuk mendapat pekerja yang berpengetahuan ini, sistem dan kemudahan pelajaran mestilah terdaya mengeluarkan penuntut yang memiliki ilmu-ilmu terutama sains dan matematik. Untuk ini penguasaan bahasa Inggeris adalah penting. Penggunaan bahasa Inggeris untuk sains dan matematik akan menentukan kelayakan seseorang pekerja. Lagipun bahasa Inggeris yang sudah menjadi bahasa ilmu terpaksa digunakan dalam melatih dan mengajar selain memberi arahan untuk membuat kerja-kerja yang canggih.

Kefahaman bahasa Inggeris tetap akan menyumbang kepada penambahan pendapatan. Ini terdapat di mana-mana sahaja.

Untuk pengekalan dan perkembangan bahasa kebangsaan, kita tidak boleh guna bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran. Kita perlu hadkan penggunaan bahasa Inggeris kepada pengajaran sains dan matematik sahaja. Mata pelajaran lain mestilah disampaikan dalam bahasa kebangsaan.

Pada masa sama penguasaan bahasa Inggeris perlu ditingkatkan. Kebiasaannya untuk menuntut ilmu ke peringkat sarjana dan Phd (doctorate) penuntut Malaysia kerap ke universiti luar negara. Bahasa pengantar di luar negara ialah bahasa Inggeris walaupun ada juga bahasa-bahasa lain yang digunakan. Kebanyakan buku teks yang digunakan di seluruh dunia juga dalam bahasa Inggeris.

Yang jelas bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu, bahasa dagang dan industri. Jika negara ingin menaikkan pendapatan melalui dagangan dan industri yang canggih dengan nilai ditambah yang tinggi, bahasa Inggeris amatlah penting dan utama. Oleh itu untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, langkah pertama ialah peningkatan penguasaan ilmu moden di kalangan rakyat, bermula dari sekolah lagi.

Etika kerja juga perlu ditingkatkan. Satu contoh berkenaan keburukan etika kerja merosakkan ekonomi negara boleh dilihat di United Kingdom. Kerana kesatuan sekerja menjadi begitu kuat sehingga dapat mendirikan kerajaan tuntutan dari kesatuan untuk kenaikan upah melalui ugutan menyebabkan pendapatan naik tanpa kenaikan daya pengeluaran. Akhirnya semua industri British gulung tikar dan ekonomi negara merosot.

Kenaikan pendapatan memang baik bagi pekerja dan pengusaha. Tetapi ia bukan sesuatu yang boleh dicapai hanya melalui dasar. Banyaklah yang perlu dipertimbangkan dan diselaraskan jika tidak kenaikan pendapatan akan memburukkan ekonomi negara dan kemajuannya
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131020/re_10/Ke-arah-negara-berpendapatan-tinggi#ixzz2iNOM6rT2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Oktober 2013
M T W T F S S
« Sep   Nov »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Blog Stats

  • 658,388 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 56 other followers

Kategori

Top Rated

%d bloggers like this: