Diftong dan Vokal Rangkap

Tinggalkan komen

Julai 3, 2012 oleh ustazkenali

Diftong dan Vokal Rangkap

16 May 2012, 10:16 AM | Munsyi Bahasa
DIFTONG ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut secara berterusan (satu hembusan nafas), dan dalam penghasilannya terdapat ciri geluncuran. Bahasa Melayu mempunyai tiga jenis diftong, iaitu  ai, au dan oi. Dua huruf vokal itu melahirkan satu bunyi.  Bunyi diftong terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke satu vokal yang lain.  Caranya ialah lidah, pada mulanya, diletakkan pada keadaan membunyikan satu vokal, kemudian digeluncurkan  ke arah membunyikan vokal yang lain lalu menjadi gabungan dua bunyi vokal.

Misalnya, untuk membunyikan diftong ai, lidah berada pada kedudukan membunyikan vokal hadapan luas [a], dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah cara membunyikan vokal hadapan sempit [i].  Hujung lidah dinaikkan tetapi tidak setinggi sebagaimana membunyikan  vokal [i]. Hujung lidah terkena pada gigi bawah, dan pita suara digetarkan.

Untuk membunyikan diftong au, kedudukan hadapan lidah pada keadaan sebagaimana membunyikan vokal hadapan luas [a], dan kemudian digeluncurkan lidah ke arah cara membunyikan vokal belakang sempit [u]; keadaan lidah agak melengkung ke arah lelangit keras. Hujung lidah hampir kena pada gigi bawah.

Untuk membunyikan diftong oi pula, lidah diletakkan sebagaimana menghasilkan bunyi vokal  belakang separuh sempit [o], dan dengan cepatnya digeluncurkan lidah ke arah cara membunyikan vokal hadapan sempit [i].  Hadapan lidah dinaikkan ke arah lelangit keras, rendah sedikit daripada cara membunyikan vokal [i]

Proses geluncuran ditunjukkan dalam rajah  berikut:

i         oi                                      u

ai                                o

au

a

Antara ketiga-tiga diftong tersebut, diftong ai merupakan diftong yang paling banyak digunakan dalam pembentukan kata, manakala bunyi diftong oi amat kecil jumlahnya dalam kosa kata bahasa Melayu.  Selain itu, kecuali diftong oi, kedua-dua diftong ai dan au dapat hadir di bahagian hadapan, tengah dan belakang kata asli dan kata serapan bahasa Melayu. Telitilah contoh berikut:

Diftong Awal Tengah Akhir
ai aidilfitri baiduri aduhai
aidiladha hairan ampai-ampai
au audit maujud sengau
aurat tauliah jerangau
oi boikot amboi
ngongoi

Jikalau dilihat sekilas lalu, terdapat deretan vokal yang menyamai diftong. Deretan vokal ini disebut juga sebagai vokal rangkap. Vokal rangkap itu ialah ai, au, dan oi. Taburannya dalam perkataan adalah seperti yang berikut:

ai  –  air, aib, ajaib, arkaik, taip, sains, ghaib

au – aur, baur, gaun, sauk, maung, baulu, sauh, kaunter

oi – eksploit, eksploitasi, heroin, koir.

Namun, jelas bahawa deretan vokal ai, au, dan oi dalam perkataan-perkataan tersenarai itu bukanlah satu bunyi yang tunggal, dan oleh yang demikian bukanlah diftong.  Kedua-dua vokal itu, pada hakikatnya, terdiri daripada dua huruf vokal yang berdiri secara terasing.  Hal ini dapat kita perhatikan apabila kita  pecahkan perkataan-perkataan itu menjadi suku kata:

a.ir,   a.ja.ib,   dan ar.ka.ik   (untuk diftong ai)

a.ur, sa.uh, dan pa.us           (untuk diftong au)

eks.plo.it , eks.plo.i.ta.si, dan he.ro.in  (untuk diftong oi).

Jelaslah bahawa konsonan rangkap merupakan kewujudan dua bunyi vokal secara berurutan dalam perkataan, dan kedua-dua vokal itu terpisah dalam suku kata yang berlainan.

Dalam bahasa Melayu, terdapat sejumlah deretan vokal (vokal rangkap) yang hadir dalam suku kata. Vokal rangkap yang dimaksudkan itu ialah ai, au, oi, ia, io, iu, ea, eo, eu,  ua, dan ui.  Contoh deretan vokal ini dalam perkataan adalah seperti yang berikut:

Vokal Rangkap Contoh
ai aiskrim, cair, dail, eksais, saiz, pain
au aur, kaus, maut, raut, sauk, taut
oi eksploit, eksploitasi, heroin, koir
ia biak, ciap, dialek, piawai, pianggang
io biola, dioksida, heliograf, semiotik, zionis
iu cium, giur, piutang, siuman, siung, tiung
ea gear, pear, reaksi, reaktor, realisme, teater
eo geografi, ideologi, koreografi, neon, teorem, video
eu deuteron, neurologi, neuron, neutral, reumatisme
ua buapak, cuaca, kuantiti, muafakat, suasana, tuang
ui cuit, juita, kuini, puisi, suis, tuil

Demikian huraian tentang diftong dan vokal rangkap dalam perkataan bahasa Melayu.  Daripada huraian ringkas ini, dapat kiranya anda mengenal pasti bentuk diftong dan bentuk vokal rangkap, serta seterusnya dapat pula membezakan bunyi diftong daripada bunyi vokal rangkap dengan jelas.

 

 

Tinggalkan komen

Julai 2012
I S R K J S A
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Blog Stats

  • 1,644,347 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 62 other subscribers

Kategori

Top Rated

Top Clicks

  • Tiada